Kebudayaan dan liburan Kota_Kinabalu

Tarikan dan tempat-tempat rekreasi

Kebudayaan

Muzium Sabah yang merupakan muzium utama di Sabah.

Terdapat beberapa tempat kebudayaan di bandar ini. Muzium Sabah yang terletak berhampiran Hospital Queen Elizabeth adalah muzium utama Sabah.[3] Di sekitar muzium juga terdapat Pusat Sains dan Teknologi, Galeri Seni Sabah, dan Taman Etno Botani. Wisma Galeri Seni Budaya menjadi tuan rumah peringkat antarabangsa serta pameran seni serantau. Bangunan Hongkod Koisaan di Penampang juga merupakan rumah kepada Persatuan Kebudayaan Kadazan-Dusun (KDCA).[87] Ia menjadi tuan rumah pesta tahunan Kaamatan atau Pesta Menuai, dan peraduan kecantikan Unduk Ngadau yang diadakan serentak di bulan Mac. Kampung Monsopiad juga menampilkan pertunjukan kebudayaan yang berkaitan dengan kebudayaan Kadazan-Dusun. Ia dinamakan sempena nama legenda pahlawan Kadazan-Dusun yang memburu kepala, iaitu Monsopiad.[88]

Kawasan bersejarah

Proklamasi Malaysia yang diadakan di Padang Merdeka pada 16 September 1963, kelihatan Tun Fuad Stephens di sebelah kiri yang berpakaian hitam.

Padang Merdeka merupakan tapak di mana pengisytiharan pembentukan Malaysia berlaku.[89] Pengisytiharan itu diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah yang pertama iaitu, Tun Fuad Stephens pada 16 September 1963, juga dikenali sebagai Hari Malaysia.[89] Pada hari ini, tapak tersebut menjadi tuan rumah kepada sambutan Hari Bandar tahunan pada 2 Februari, Hari Merdeka pada 31 Ogos, dan beberapa perayaan-perayaan lain.

Menara Jam Atkinson berada berdekatan Bandaran Berjaya. Menara jam ini telah dibina oleh Mary Edith Atkinson pada tahun 1905 bagi mengingati anaknya, Francis George Atkinson.[90] Menara ini dahulunya digunakan bagi membantu laluan kapal-kapal.[90] Ia merupakan salah satu daripada tiga struktur tinggalan Perang Dunia Kedua yang kekal sehingga ke hari ini.[3][11] Satu lagi tapak peringatan yang terkenal di sini ialah Peringatan Perang Petagas yang terletak berdekatan KKIA. Ia merupakan sebuah tapak peringatan bagi mengingati mereka yang telah terkorban ketika menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Ia juga merupakan tempat di mana gerila Kinabalu telah dibunuh oleh tentera Jepun pada tahun 1944. Selain itu, Tugu Peringatan Double Six, yang terletak di Sembulan turut menjadi simbol peringatan bagi negeri Sabah. Tugu ini merupakan sebuah tapak peringatan bagi mengingati Tragedi Double Six pada 6 Jun 1976 yang telah meragut nyawa Ketua Menteri Sabah yang pertama iaitu, Tun Fuad Stephens beserta enam lagi menteri lain.[91]

Kawasan riadah dan pemuliharaan

Titian di Kota Kinabalu pada waktu senja.

Terdapat banyak tempat rekreasi dan kawasan pemuliharaan di sekitar Kota Kinabalu. Anjung Samudra (KK Waterfront) antaranya merupakan tempat hiburan tepi pantai di pusat bandar yang mempunyai restoran, kafe, pub, dan kelab malam. Royal Sabah Turf Club di Tanjung Aru juga menjadi tuan rumah kepada acara lumba kuda mingguan tetapi kini ianya telah ditutup dan dipindahkan ke Padang Lumba Kuda Tambalang di Tuaran disebabkan oleh pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Kereta Api Borneo Utara yang memulakan perjalanan dari stesen Tanjung Aru juga menawarkan pelancongan indah desa di Bahagian Pantai Barat dan Bahagian Pedalaman.[16] Perjalanan keretapi ini berakhir di Tenom.[16] Selain itu, Sutera Harbour Golf and Country Club berhampiran pusat bandar yang dibina di atas tanah tebus guna juga telah siap sepenuhnya.[3] Ia menempatkan sebuah padang golf dan dua hotel.

Para pengunjung sedang menikmati keindahan pemandangan matahari terbenam di Tanjung Aru.

Tanjung Aru, yang terletak kira-kira 6 kilometer ([convert: unknown unit]) dari pusat bandar merupakan salah satu pantai di Pantai Barat. Namanya diambil daripada pokok sena (sejenis pokok tempatan yang dipanggil Aru) yang tumbuh di kawasan pantai.[92] Pantai ini mempunyai panjang lebih kurang 2 kilometer ([convert: unknown unit]) dan dilengkapi dengan beberapa gerai makanan dan minuman, restoran, dan juga kelab-kelab hiburan malam. Di sekitar kawasan Tanjung Aru terletaknya Kinabalu Golf Club, Taman Botani Putera Philip, Kelab Kapal Layar KK, dan Resort Pantai Shangri-La. Pantai ini sangat terkenal dengan keindahan pemandangan matahari terbenam yang dapat dinikmati orang ramai.[93][94]

Terletak di dalam kawasan Teluk Likas ialah Kawasan Perlindungan Burung Kota Kinabalu. Dengan kawasan seluas 24 ekar (97,000 m2), ia merupakan kawasan hutan asali yang masih wujud hingga sekarang di sepanjang kawasan pantai Kota Kinabalu.[95] Kawasan ini diwartakan pada September 1996 oleh kerajaan negeri bagi memupuk kesedaran terhadap nilai kawasan tanah lembap. Taman Zoologi dan Botani Sabah (Lok Kawi Wildlife Park) pula terletak di Lok Kawi, kira-kira 20 kilometer ([convert: unknown unit]) di selatan bandar. Taman ini merupakan zoo yang pertama di Sabah. Terletak di sebidang tanah seluas 280 ekar (1.1 km2), ia juga boleh dikatakan sebagai zoo yang terbesar di Malaysia.[96]

Taman Tun Fuad Stephens yang terletak di Bukit Padang juga merupakan tempat joging dan mendaki yang popular di kalangan penduduk tempatan. Ia dikelilingi oleh hutan dan terdapat sebuah tasik buatan manusia. Ia mempunyai beberapa gerai makan dan restoran. Taman Tunku Abdul Rahman adalah Taman Negara yang terdiri daripada pulau Sapi, Mamutik, Manukan, Sulug dan Gaya.[3] Ia merupakan tempat yang paling popular untuk menyelam. Taman ini boleh dilawat dengan menggunakan bot yang terdapat di terminal feri dan hanya mengambil masa sekitar 15 hingga 30 minit untuk sampai ke sana. Sungai Babagon, di Penampang, dan air terjun Kiansom berhampiran Inanam juga merupakan tempat yang popular untuk berkelah dan mandi.[97]

Di kawasan luar bandar, lebih kurang 70 kilometer ([convert: unknown unit]) dari Kota Kinabalu, terletak Taman Negara Banjaran Crocker, berhampiran dengan Keningau. Taman Crocker adalah tempat yang popular untuk pendakian dan juga perkhemahan hutan. Selain itu, Kota Kinabalu juga merupakan pintu masuk ke salah satu taman negara yang paling popular di Malaysia, iaitu Taman Negara Kinabalu.[98] Perjalanan ke taman ini memakan masa dua jam dari bandar dan di sanalah letaknya Gunung Kinabalu. Selain itu, Hutan Simpan Rafflesia, (30 kilometer ([convert: unknown unit]) dari bandar) yang berada di Tambunan dan bersempadankan Taman Negara Banjaran Crocker, juga merupakan tempat tarikan pelancong. Spesies bunga yang terbesar di dunia, iaitu Rafflesia, boleh didapati di sini. Berdekatan di sini juga ialah Gunung Emas Highland Resort yang merupakan satu lagi tempat yang terkenal dengan pemandangan dan cuaca sejuk. Ladang Buaya Tuaran, yang berada kira-kira 30 kilometer ([convert: unknown unit]) ke utara bandar mempunyai sekitar 1,400 ekor buaya dalam kandang, menjadikannya yang terbesar di Sabah.[99]

Masjid Negeri Sabah.

Tarikan lain

Menara Tun Mustapha (sebelum ini dikenali sebagai Menara Yayasan Sabah) merupakan bangunan 30 tingkat yang disokong oleh rod keluli regangan tinggi, ia merupakan satu daripada tiga bangunan di dunia yang dibina menggunakan kaedah ini.[100]

Bangunan lain yang menjadi tarikan pelawat antaranya rumah bertiang tinggi yang boleh ditemui di kawasan Sembulan, Tanjung Aru, Kampung Likas, dan Kampung Pondo di Pulau Gaya.[101] Rumah-rumah ini dibina di atas perairan pantai cetek dan merupakan rumah khas bagi kaum Bajau dan penduduk Suluk dan Tausūg.[102]

Masjid Negeri Sabah di Sembulan adalah masjid utama di bandar ini manakala Masjid Bandar di Teluk Likas merupakan satu lagi mercu tanda terpenting di bandar.[103]

Kawasan beli-belah

1Borneo, pusat beli-belah yang terbesar di Malaysia Timur.

Kota Kinabalu juga mempunyai beberapa pusat membeli-belah yang menarik ramai pengunjung. Ini termasuk Kompleks Karamunsing, Centre Point, Wisma Merdeka, Warisan Square, Plaza Wawasan, Kompleks Asia City[3], City Mall, KK Plaza, Suria Sabah dan pusat membeli-belah yang terbesar iaitu 1Borneo.[69] Kawasan beli-belah yang baru dibina di Kota Kinabalu termasuk Suria Sabah Shopping Mall yang kini menempatkan GSC Kota Kinabalu dan juga Megalong Shopping Mall yang terletak di daerah Penampang.[69] Di Karamunsing pula, terdapat Kompleks Karamunsing.[104] Selain itu, di pasar mingguan Gaya Street juga terdapat ramai penjaja tempatan yang menjual pelbagai barangan dan cenderamata etnik kebudayaan tradisional.[105] Pasar Kraftangan Kota Kinabalu (yang dahulunya dikenali sebagai Pasar Filipina) atau Kota Kinabalu Handicraft Market juga menjual kraftangan, cenderamata dan makanan tradisional.[106]

Hiburan

Panggung wayang Golden Screen Cinemas yang terletak di Suria.

Terdapat empat pawagam di Kota Kinabalu: dua Golden Screen Cinemas (dikenali sebagai GSC), Cathay Cineplex, Growball Cineplex dan Megalong Cineplex. GSC terletak di dalam Pusat Beli-belah Suria dan di bahagian lain 1Borneo.[107][108] Kedua-dua cawangan GSC memuatkan lapan dewan pawagam masing-masing.[109]

Sukan

Stadium Likas, yang merupakan stadium rumah bagi pasukan SabaHawks.

Kompleks Sukan Likas di Kota Kinabalu menyediakan kemudahan bagi pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi untuk kegunaan awam.[79] Antara lain ia juga menempatkan stadium bola sepak[110], hoki, badminton, tenis, skuasy, gimnasium, kolam renang saiz Olimpik. Ia merupakan kompleks sukan yang terbesar di Sabah dan telah menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara sukan antarabangsa.[79] Stadium Likas ialah rumah bagi pasukan bola sepak (SabaHawks) yang juga dikenali sebagai Sabah FA yang sedang bertanding dalam Liga Perdana Malaysia. Terdapat satu lagi kompleks sukan di Penampang yang juga mempunyai sebuah stadium bola sepak bersaiz penuh.

Terdapat empat padang golf di Kota Kinabalu, antaranya Sabah Golf and Country Club di Bukit Padang, Kinabalu Golf Club, di Tanjung Aru, Sutera Harbour Golf and Country Club, dan Karambunai Golf and Country Club.[111]

Kota Kinabalu juga telah menjadi tuan rumah kepada beberapa acara sukan peringkat kebangsaan seperti SUKMA 2002, serta kejohanan antarabangsa seperti Kejohanan Karate Dunia 1994[112] dan Kejohanan BWF Super Series 2008.[113] Selain itu, ia juga merupakan titik permulaan antarabangsa tahunan Cabaran Borneo Safari 4x4.[114] Bandar ini juga menjadi tuan rumah dan merupakan salah satu litar bagi F2 Bot Kuasa UIM Siri Piala Dunia yang dilangsungkan pada bulan Disember setiap tahun sejak 2007.[115]

Muzik

Kota Kinabalu merupakan tuan rumah kepada salah satu Festival Jazz kegemaran Asia, iaitu Festival Jazz KK yang menjadi acara tahunan di sini.[116] Penghibur antarabangsa seperti Son2nos (Venezuela), Jazz Korea Nah Youn Sun yang memenangi anugerah diva, Hong Kong Junk Unit, Malaysia's Double Take, Atilia dan Mood Indigo dari UK telah membuat konsert di festival ini.[117]

Majalah Bandwidth Street Press merupakan majalah percuma di Kota Kinabalu yang mempromosikan pemuzik tempatan Sabah dalam kandungannya. Majalah ini telah dilancarkan pada Mac 2009 dan disokong oleh kerajaan tempatan dan juga Menteri Alam Sekitar Kebudayaan, dan Pelancongan Sabah, iaitu YB Datuk Masidi Manjun, bagi memperkenal dan memajukan muzik tempatan.[118]

Orang terkenal

Ahli politikArtis

Rujukan

WikiPedia: Kota_Kinabalu ftp://ftp.atdd.noaa.gov/pub/GCOS/WMO-Normals/TABLE... http://www.smh.com.au/articles/2007/10/26/11929413... http://www.dfat.gov.au/missions/countries/myko.htm... http://www.dva.gov.au/commems_oawg/OAWG/war_memori... http://www.financeminister.gov.au/biography.html http://www.rockingham.wa.gov.au/Council/Latest-New... http://www.bt.com.bn/golden-legacy/2011/01/10/hist... http://www.abcsabah.com/index.php/kota-kinabalu/ http://www.accessmylibrary.com/article-1G1-3005275... http://en.allmetsat.com/climate/philippines.php?co...